Sunday, February 8, 2009

Rakyat Malaysia yang Tak Sedar Untung = PENDERHAKA!

Assalamualaikum..
Posting kali ni, pasal artikel dalam newspaper hari ni. Kekadang, bila dah seronok2 sangat, dunia luar pun kita lupa. posting asyik2 pasal benda2 pasal diri kita je. Tapi yang kali ni aku sengaja masukkan posting ni. Agak menyakitkan hati jugak, tapi kekadang aku sendiri tak faham dengan perangai rakyat Malaysia yang tak reti2 nak bersyukur ke hadrat ilahi. Dahla duduk kat Malaysia yang aman dan cantik ni, takde perang bagai, tapi still orang-orang tu rasa tak puas hati. Hurm.. dunia, dunia.. Ni ada sikit artikel yang aku ambik kat Berita Harian..

KUALA LUMPUR: Tindakan biadab, sombong dan angkuh pemimpin serta penyokong Pakatan Rakyat yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dengan menggugut baginda untuk dibawa ke muka pengadilan, selain memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak, benar-benar menimbulkan kemarahan rakyat.

Kemarahan mereka meluap sehingga ada yang mencadangkan pihak terbabit dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selain dilucutkan kewarganegaraan dan bagi mereka yang bermastautin di Perak, diusir keluar.


Berita Minggu turut menerima panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang ramai yang marah dengan tindakan pemimpin dan penyokong parti pembangkang itu.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataannya semalam, memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak sekali-kali menyentuh serta menjatuhkan martabat, maruah dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang selama ini menjadi payung kepada seluruh rakyat.

Karpal Singh

Beliau yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, apa yang berlaku di Perak tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila institusi raja dibabitkan dengan begitu agresif sehingga diugut dibawa ke peringkat perundangan.

"Perkembangan di Perak cukup merimaskan semua pihak... sepatutnya perubahan teraju pentadbiran negeri berlaku dalam situasi penuh kematangan, tetapi tercemar dengan insiden yang bermula dengan protes, demonstrasi dan akhirnya keinginan menyaman Sultan Perak.

"Kegelojohan mengheret Sultan ke mahkamah dengan hanya bersandarkan kepada sentimen politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan jelas tidak menghormati institusi raja seperti terkandung dalam prinsip Rukun Negara," katanya di sini semalam.

Kelmarin, Pakatan Rakyat memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di Istana Iskandariah, manakala penyokong gabungan itu pula mencetuskan kekecohan di luar Masjid Ubudiah.

Pengerusi DAP, Karpal Singh pula dilaporkan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Azlan Shah dan BN jika masih berkeras untuk melantik Menteri Besar BN.

Hishammuddin berkata, perbuatan itu tidak boleh dibiarkan menjadi budaya baru kerana gelagat seperti itu sedang diperhatikan oleh generasi muda.

Katanya, Sultan Azlan Shah adalah pakar perundangan dan keputusan yang dibuat adalah atas kapasiti dan kedudukan baginda sebagai Sultan.

"Rakyat harus faham bahawa kematangan berpolitik penting dalam menghadapi sebarang perubahan luar jangka. Dalam pilihan raya umum lalu, BN tidak menjangka mengalami kekalahan yang begitu pahit untuk ditelan.

"Bagaimanapun, BN tidak pernah guna sebarang pengaruh atau tekanan kepada institusi raja bagi membolehkan kita terus kekal berkuasa, sebaliknya menerima situasi itu dengan lapang dada dan penuh keinsafan... di sinilah kematangan kita," katanya.

Beliau berkata, kumpulan yang mengganggu ketenteraman di Perak itu bergerak atas dasar kepentingan dan kuasa politik semata-mata, tetapi BN tidak pernah membuat kecoh ketika lima negeri diambil alih Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.

"Bagi BN apa yang penting ialah kesejahteraan dan kebaikan untuk rakyat, jadi rakyat seharusnya membandingkan keadaan ini untuk membuat penilaian mudah mengenai parti mana yang sebenarnya boleh membawa aspirasi mereka," katanya.

Hishammuddin berkata, beliau sudah meminta Pemuda Umno dan BN Perak mempertahankan Sultan Perak yang memerintah mengikut Perlembagaan dan lunas undang-undang negara.

"Saya yakin Sultan Perak membuat keputusan dengan penuh bijaksana dan sudah menimbang semua aspek dalam isu ini. Hanya baginda lebih tahu apa yang terbaik untuk rakyat dan negeri baginda," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata menderhaka kepada Raja memang jenayah berat dan di Thailand boleh dihukum bunuh atau penjara seumur hidup.

"Tidak timbul soal sama ada kesalahan itu di Thailand atau Malaysia kerana perbuatan terbabit sememangnya jenayah berat. Di Thailand, sesiapa menghina Raja boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup," katanya, ketika dihubungi semalam.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, Pakatan Rakyat kurang ajar, tidak beradab serta mengingkari janji untuk akur dan mematuhi titah Sultan Perak.

"Ia bukan ciri integriti pada pemimpin yang sepatutnya memberi contoh baik kepada rakyat. Kalau mereka sendiri derhaka kepada Sultan dan mungkir janji... dikhuatiri generasi akan datang mencontohinya.

"Pada pandangan saya, jika betul-betul tak bersetuju, ingkar dan tak mahu patuh titah Sultan di negeri sendiri, mereka tidak patut tinggal lagi di negeri itu atau wajar dibuang negeri," katanya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican pula meminta Majlis Raja-Raja Melayu mengeluarkan usul keras terhadap Karpal Singh, termasuk mengkaji kewajaran kerakyatannya dilucutkan.

Katanya, Pengerusi DAP itu secara nyata menghasut agar timbul ketidaksetiaan kepada raja apabila mengugut mengheret Sultan Perak ke mahkamah atas isu politik.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, tindakan menghina institusi Raja-Raja Melayu, termasuk melalui laman web rasmi Sultan Perak menggambarkan pelaku itu tiada adab.

Beliau juga menyifatkan Karpal sebagai penderhaka dan selayaknya dikenakan tindakan ISA selain ditarik balik kewarganegaraan atau diharamkan menjejak kaki di Perak kerana berani mencabar institusi Raja Berperlembagaan.

Tapi sebagai rakyat biasa, kita boleh bagi pandangan kat sini-sini je. Raja, menteri takkan dengar pandangan kita ni.. Sesiapa yang ada komen, sila la.. Bagi aku, memang salah PKR jugak la.. Dan encik Karpal sendiri, takkan dia yang study tinggi-tinggi, lawyer lagi, takkan tak reti undang-undang kot. Kuasa Raja-raja Melayu tak boleh dipertikai. Hish. Tak faham la aku.. Bukan nak kata aku sebelah mana-mana pihak.. Umur pun tak cukup 21 tahun lagi. Tapi kekadang rasa seronok tengok orang-orang atasan ni main permainan bodoh yang takkan habis. Carik pasal sampai pelingkup diri sendiri..

Bab hukuman pulak. Hurm. Entahla. Bagi aku, ISA ja yang layak untuk orang-orang yang derhaka kepada Sultan dan Raja. Ke, suruh pihak berkuasa rampas kerusi roda dia?? haha! Tak pun, jangan bagi pijak bumi Malaysia lagi. Tak pun, suruh Sultan dan kerajaan Malaysia contact dengan semua leader seluruh dunia, jangan bagi diorang terima orang derhaka ni kat mana-mana tempat atas planet bumi. Biar dia keluar dari bumi, baru dia tau langit tinggi ke rendah. Pastu, kalau dia nak ugut-ugut ke, gaduh dengan alien, haa.. tu dah tak de kena mengena dengan kita dah. Orang lain pun tak sakit hati.. haha.. Ok.. Sesiapa yang ada pandangan, sila kemukakan.. hehe.. bye..

No comments: