Thursday, May 31, 2012
Motorsports Association of Malaysia (MAM) Sedia Kerjasama
Mungkin ramai yang telah mengetahui mengenai berita buruk yang berlaku baru-baru ini di Karnival Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya yang menyebabkan kecederaan kepada beberapa penonton. Mungkin ramai yang terlepas pandang dari aspek keselamatan dan tidak menyangka kejadian sebegitu bakal terjadi. Apa pun, kemalangan telah berlaku dan aku doakan agar semua yang cedera, sembuh dengan cepat.
Selepas kejadian itu, Motorsports Association of Malaysia (MAM) mengeluarkan kenyataan bahawa mereka selaku badan yang ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan telah memegang tanggungjawab untuk mengawal selia aktiviti sukan bermotor, bersedia untuk memberikan khidmat nasihat dan sanctioning kepada pihak penganjur acara sukan bermotor yang merangkumi semua aspek yang perlu diambil kira terutamanya dari faktor keselamatan, bukan sahaja pelumba tetapi juga penonton.
Menurut MAM, bagi mereka keselamatan adalah perkara paling utama dan perlu diberi perhatian sepenuhnya. Semua sedia maklum bahawa acara sukan bermotor adalah sukan yang berisiko tinggi dan memerlukan seliaan keselamatan yang secukupnya. Oleh itu, setiap acara permotoran yang akan diadakan pada masa akan datang perlu menitikberatkan perihal keselamatan ini dan semua yang terlibat perlulah mematuhi peraturan keselematan yang ditetapkan.
Sehubungan dengan itu, pihak MAM juga akan berbincang dengan KBS untuk memberi penjelasan yang lebih terperinci berhubung usaha penyelarasan dan hala tuju sanctioning bagi sukan drag khususnya dan untuk semua acara sukan permotoran anjuran KBS amnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment