Friday, April 25, 2014

Dokumentari Alam Sekitar Majalah 3 Menang Hadiah Kewartawanan MPI-Petronas

PETALING JAYA, 22 April 2014 -- Malam Wartawan Malaysia 2014 telah berakhir dengan kesudahan yang positif bagi TV3 apabila hasil dokumentarinya, Majalah 3: Penyelamat Khazanah Sabah, terbitan Primeworks Studios dinobatkan sebagai Dokumentari Video Terbaik. Majlis tersebut telah diadakan pada 18 April 2014 di One World Hotel, Petaling Jaya. Penerima-penerima anugerah Dokumentari Video Terbaik itu, penerbit Irin Putri Azmi dan jurukamera Jebat M. Roseli, memenangi wang tunai berjumlah RM 15,000.

Sejak mula bersiaran pada tahun 1985 di TV3, siri dokumentari majalah Majalah 3 masih mengekalkan kedudukannya dalam senarai program-program dengan jumlah penonton tertinggi di Malaysia. Rancangan berbentuk dokumentari majalah ini mengupaskan lebih lanjut kisah-kisah unik yang belum pernah dipaparkan bukan sahaja mengenai suatu yang mendapat perhatian umum malah perkara-perkara yang sering dipinggirkan oleh masyarakat di dalam dan luar negara.

Penyelamat Khazanah Sabah mengikuti penerokaan Irin Putri Azmi di Sabah bersama Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) untuk menyaksikan usaha penempatan semula hidupan liar yang telah kehilangan habitat mereka akibat pemodenan. Dokumentari tersebut dipilih oleh juri berdasarkan penyampaiannya yang sarat dengan maklumat beserta rakaman-rakaman visual yang amat berkualiti.

Dokumentari-dokumentari terbitan Primeworks menduduki ketiga-tiga slot pencalonan ‘Top 3’ untuk anugerah Dokumentari Video Terbaik. The Breakfast Show: Hope Amidst the Rubble (ntv7) menyingkap perjuangan dan penderitaan yang dilalui oleh penduduk-penduduk Gaza manakala program wanita Nona: Kasihku di Bumi Gaza (TV3) menceritakan tentang ketabahan wanita-wanita Palestin dalam menangani kesan-kesan buruk peperangan.

“Kami amat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan yang amat berprestij dalam industri Kewartawanan Malaysia ini. Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Majalah 3 telah memenangi anugerah ini. Tahun lepas, Majalah 3: Badang Kinabalu oleh Za'im Helmi Zainal juga telah dinobatkan sebagai Dokumentari Video Terbaik. Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysian Press Institute di atas penghargaan yang telah diberi kepada program-program kami. Kemenangan anugerah ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus berusaha menghasilkan laporan-laporan yang lebih berkesan dan menarik, "Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV, Media Prima Berhad merangkap  Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios berkata.

Dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) sejak tahun 1980, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas adalah sebuah inisiatif bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada organisasi-organisasi dan individu-individu tersohor dalam industri kewartawanan Malaysia. Majlis tahun ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tetamu kehormat.






No comments: