Petang tadi di Sri Pentas berlangsungnya satu acara yang melibatkan pihak Media Prima dan jenama aiskrim kegemaran rakyat Malaysia, Baskin-Robbins. Kedua-dua pihak tersebut menyatakan hasrat mereka bagi menjadi sumber motivasi buat rakyat supaya terus memberikan sokongan padu buat para atlet kebangsaan yang bertarung di Sukan Olimpik di London.
Janji mereka adalah sekiranya pasukan Malaysia mendapat pingat emas pertama tidak kira dalam apa jua acara, Baskin-Robbins bakal memberikan aiskrim percuma buat semua pelanggan pada 8 Ogos akan datang. 8-10 malam pada hari tersebut akan dipenuhi dengan sesi pemberian aiskrim percuma di semua outlet Baskin-Robbins di seluruh negara kecuali beberapa tempat seperti hospital dan sebagainya.
Ini akan memberikan inspirasi buat para peminat sukan untuk terus menyokong pasukan kebangsaan. Menurut Ahmad Izham Omar selaku orang kuat Media Prima, pihaknya berharap suara sokongan rakyat akan membuahkan hasil melangkaui jarak dan dapat menjadi motivasi buat para atlet untuk terus berjuang untuk sukan negara.